Ads

Wednesday, 23 November 2011

Warna & Coli

ELEMEN warna memberi pengaruh besar kepada penampilan diri seseorang.

Segelintir pakar aura mengatakan tidak semua orang sesuai dengan warna yang dipakai sehingga ia menidakkan penampilannya untuk kelihatan menarik.

Bahkan, pakar terapi warna memperincikan bahawa warna dan individu memiliki aura tersendiri yang mungkin tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Bagi sesetengah wanita, kepercayaan terhadap aura bukan hanya diterjemahkan dalam pemilihan pakaian yang dipakainya dari sudut luaran saja.

Menitikberatkan soal dalaman, bahkan hingga kepada coli dipakai, ia diperincikan dengan penuh ketelitian oleh golongan hawa.

Menurut Pengurus Pemasaran Avon Cosmetics, Hanim Sahrom, wanita menitikberatkan pemilihan warna termasuk coli dengan memilih beberapa warna popular dalam menjuruskan keperibadian masing-masing.

“Kira-kira 30 peratus wanita memilih coli warna hitam dan merah kerana ia mewakili keunggulan, kesungguhan dan kehangatan diri mereka.

“Kedua-dua warna itu sesuai untuk saat istimewa iaitu ketika mereka inginkan mesej untuk menggambarkan diri yang bersifat lantang dan terang.

“Warna hitam dan kuning pula turut memberi petanda efektif yang membawa erti ‘perasaan panas’ dan ‘suasana hangat’ atau petanda ‘berbahaya’,” katanya.

Biarpun warna coli memberikan seribu pengertian diri dan mewakili selera peribadi, beliau mengakui pilihan warna lain turut menggambarkan keperibadian dalam mencipta suasana dan cita rasa tersendiri.

“Warna menyebabkan mata bertindak balas terhadap gelombang tenaga. Tanpa cahaya, tidak ada warna dan apabila hari beransur gelap, warna pudar akan hilang sedikit demi sedikit.

“Ini bermakna, jika cahaya adalah sumber kehidupan demikianlah juga pentingnya warna terhadap kehidupan itu sendiri.

“Memakai coli berwarna bagaikan meletakkan tenaga semula jadi ke atas tubuh selain mencipta reaksi bawah sedar,” katanya.

Menurutnya, pilihan coli merah jambu mewakili sifat feminin dan diri wanita sopan. Pada masa sama, pilihan warna itu juga memiliki daya kekuatan cukup bertenaga untuk menarik perhatian dalam kelembutan.

Beliau akui lebih 40 peratus wanita gemarkan warna demikian. Warna putih yang menjadi pilihan sebahagian wanita pula menggambarkan kesucian serta nilai ringkas dalam diri wanita berkenaan selain mewakili sikap jujur dan tulus.

Bahkan, katanya, warna bersih itu adalah pilihan terbaik kerana dalam keadaan suhu panas, ia membantu menyejukkan minda, jiwa dan perasaan.

Namun, apa saja warna digemari wanita, yang terpenting dan harus difikirkan adalah kesesuaian serta keselesaan untuk memilih coli.

“Selain kecanggihan fabrik, corak dan warna pilihan yang pelbagai, cara pemakaian turut memberikan kebebasan untuk berfesyen mengikut cita rasanya.

“Misalnya jika memilih coli tidak berkelim beralas span, ia menjanjikan kemasan dan licin pada pakaian sendat seperti kemeja-T dan kebaya,” katanya.

Selain itu, dia tidak menafikan jenis fabrik seperti nilon, satin, renda dan net adalah fabrik asas yang merevolusikan pakaian dalam hari ini.

No comments:

Post a Comment