http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PerihalOrangMuda_Anakmudatakpandaibergaya/Article
Oleh Alzahrin Alias
zahrin@bharian.com.my
2011/05/29
Tidak tahu etika berpakaian, malas berhias jadi punca selekeh
KUALA LUMPUR: Generasi muda hari ini mengakui aspek penampilan diri menjadi antara faktor penting dalam menjaga ketrampilan peribadi tetapi ramai tidak tahu bergaya mengikut keadaan atau majlis dihadiri termasuk sesi temu duga.
Perunding imej dan pensyarah fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Faizal Abdul Hamid, berkata soal ketrampilan diri sangat subjektif kerana ia merangkumi elemen fesyen.
“Fesyen adalah sesuatu yang ceria serta gaya ekspresi individu yang tersendiri. Fesyen dapat meningkatkan keyakinan serta ketrampilan diri. Kita akui, cita rasa manusia sangat subjektif dan bersifat sejagat.
“Namun begitu, golongan muda perlu menghormati budaya dan masyarakat setempat dalam berfesyen. Sama ada anda bersetuju atau tidak, pesan saya hanyalah satu iaitu tepuk dada, tanya selera,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.
Faizal berkata, dalam soal menjaga ketrampilan diri, golongan lelaki sering dikatakan pemalas dan selekeh dalam bergaya.
“Untuk mengatasinya, kursus atau bengkel penampilan imej perlu diadakan. Ia bukan hanya untuk golongan muda tetapi untuk semua lelaki yang amat mementingkan an ketrampilan diri.
“Pakaian adalah ekspresi luaran dan dalaman seseorang. Adalah penting untuk berpakaian dengan gaya yang boleh menyampaikan mesej positif,” katanya.
Faizal berkata, 80 peratus daripada ketepatan gaya ialah apabila kita menyarung pakaian sesuai bagi setiap acara yang dihadiri.
“Kod berpakaian dilihat sedikit longgar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi, masih ada garis panduan yang perlu dipatuhi.
“Apabila kita sangsi mengenai pakaian formal yang harus dipakai terutamanya ketika menghadiri mesyuarat perniagaan atau majlis koktel, dinasihatkan supaya memakai tali leher sebagai pelengkap gaya.
“Ini bagi memastikan anda tetap profesional ketika menghadiri majlis itu,” katanya.
Faizal berkata, bagi individu konservatif, pakaian elemen gaya klasik dan rasmi dengan rona hitam dan kelabu boleh menjadi pilihan.
“Elak memakai aksesori pelik, agak berat serta keterlaluan daripada yang sepatutnya digayakan ke pejabat.
“Secara mudahnya, gaya diterjemahkan sebagai gaya hidup yang bukan hanya dilihat melalui cara kita memilih pakaian, tapi bagaimana kita mengadaptasikannya. Ia bukan hanya pakaian tetapi termasuklah jenis kereta dipandu, muzik didengari, telefon bimbit yang digunakan dan sebagainya,” katanya.
No comments:
Post a Comment