Ads

Wednesday 1 June 2011

Tan Sri Mokhtar Bos Baru Pos Malaysia

Tahniah Tan Sri Syed Mokhtar. Semoga beliau dapat mengemudi Pos Malaysia dengan baik. Sejak tahun lepas lagi harga setem dan lain-lain perkhidmatan pos telah meningkat lebih 100%. Kalau dulu pos surat guna setem 30 sen sahaja tapi sekrang sudah jadi 60 sen. Apa yang aku harapkan, perkhidmatan tu berbaloi dengan apa yang kami (pengguna) bayar.

http://www.bharian.com.my/articles/KonsortiumSyedMokhtarpilihanbeliekuitiPosMalaysia/Article/

Konsortium Syed Mokhtar pilihan beli ekuiti Pos Malaysia
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/02/15


Bank Muamalat mampu jadi rakan sinergi kembang rangkaian produk
KONSORTIUM diterajui Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dikatakan sebagai calon yang mempunyai kelebihan dalam bidaan membeli kepentingan 32.21 peratus dalam Pos Malaysia Bhd daripada Khazanah Nasional Bhd.

Ini susulan langkahnya mengetengahkan bank Islam yang dikuasainya, iaitu Bank Muamalat Malaysia Bhd sebagai calon dalam mewujudkan sinergi strategik dengan Pos Malaysia, sekali gus ‘memenuhi’ kriteria pembida yang dikehendaki agensi pelaburan kerajaan itu.

Bank Muamalat, bank Islam ketiga terbesar Malaysia dari segi aset adalah anak syarikat milik penuh DRB-Hicom, konglomerat yang dikuasai Syed Mokhtar.

Ia dikatakan mampu menjadi rakan sinergi terbaik bagi Pos Malaysia terutama dalam usaha kedua-duanya mengembangkan rangkaian produk serta perkhidmatan serta jangkauan capaian pelanggan masing-masing.

Pos Malaysia ketika ini giat mengembangkan perniagaannya melangkaui perkhidmatan tradisionalnya. Ini termasuk menawarkan khidmat perbankan.

Bank Muamalat pula perlu mengembangkan lagi rangkaian cawangan bagi membolehkannya bersaing lebih berkesan dalam sektor perbankan Islam yang sedang berkembang pesat di negara ini.
Justeru, pakatan Bank Muamalat-Pos Malaysia itu bakal menyediakan platform terbaik untuk pengembangan perniagaan kedua-dua entiti itu.

Pos Malaysia kini mempunyai lebih 1,000 cawangan di seluruh negara. Bank Muamalat pula ketika ini hanya mempunyai 56 cawangan.

Syed Mokhtar, individu ke-655 terkaya di dunia dengan aset dianggarkan bernilai AS$1.5 bilion (RM4.58 bilion) memiliki pegangan 55.92 peratus ekuiti dalam DRB-Hicom Bhd yang dikuasainya menerusi Etika Strategy Sdn Bhd.

Mengikut laporan tahunan DRB-Hicom bagi 2010, pemegang saham utama lain konglomerat itu termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menguasai hampir 10 peratus dan Khazanah dengan 5.13 peratus.

Mengulas perkara itu, Ketua Penganalisis OSK Research, Chris Eng berkata, kerjasama sedia ada Pos Malaysia dengan Maybank Bhd dan RHB Bank Bhd dalam menawarkan beberapa perkhidmatan perbankan bukan menjadi penghalang kepada pembabitan aktif Bank Muamalat dalam syarikat pos itu.

“Kami tidak melihat kerjasama Pos Malaysia dengan Maybank dan RHB Bank sebagai penghalang kepada Bank Muamalat dalam membentuk pakatan bermakna dan lebih meluas dengan Pos Malaysia.

“Sebaliknya menerusinya penyedia perkhidmatan pos tunggal negara itu boleh meluaskan lagi perkhidmatan perbankan yang ditawarkannya, malah mampu menyediakan perkhidmatan perbankan lengkap,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, penyertaan Bank Muamalat itu adalah strategi terbaik Syed Mokhtar menonjolkan lagi jenama bank Islam itu.

Difahamkan, selain Syed Mokhtar, dua gergasi logistik antarabangsa, iaitu Deutsche Post dari Jerman dan TNT Post dari Belanda dan beberapa tokoh perniagaan tempatan lain seperti Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun (Berjaya Group); dan anak pengasas dan bekas Pengerusi Kumpulan Naza, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin adalah antara pembida yang sudah menghantar cadangan bagi pengambilalihan itu.

Berdasarkan harga penutup saham Pos Malaysia semalam, iaitu RM3.35 sesaham, saham Pos Malaysia milik Khazanah itu adalah bernilai kira-kira RM580 juta.

No comments:

Post a Comment