Ads

Sunday, 16 November 2014

Diari Muzik Saya

Pythagoras mengatakan bahawa muzik adalah sama seperti segala prinsip fizik dan matematik yang membolehkan segala isi alam semesta berfungsi dengan baik dan harmoni.

Artikel Terkepung Dalam Nostalgia Irama oleh wanita jauhari kita, Raihani Mohd. Saaid membuatkan saya membuka helaian demi helaian diari muzik saya. Seingat saya, saya mula meminati muzik ketika di sekolah menengah. Ketika itu kakak sering memainkan lagi Go West oleh Pet Shop Boys. Saya juga turut tenggelam dengan lagu cinta mendayu-dayu Please Forgive Me dan Everything I Do (I Do It For You) yang didendangkan oleh penyanyi dari Kanada, Bryan Adams. Saya turut meminati muzik instrumental yang kenbanyakannya menjadi runut bunyi sesebuah filem. Richard Clayderman dan Vangelis menghiasi dunia muzik saya. Saya seorang yang sentimental. Tak keterlaluan juga jika dikatakan romantik.

Ketika di zaman universiti, siaran radio Singapura, Class 95 menjadi teman semasa belajar. Saya begitu meminati lagu-lagu 80an seperti Forever Young (Alphaville), Drive (The Cars), Love At First Degree (Bananarama) dan banyak lagi. Jika saya senaraikannya, mungkin berkajang-kajang panjangnya. Bagi saya, irama 80an ini mempunyai daya tarikan yang tiada bandingannya.

Apabila memasuki alam pekerjaan, perkara terbesar yang saya lakukan adalah 'self discovery' dunia muzik. Saya jatuh cinta dengan muzik klasik Barat. Pertama kali menghadirkan diri ke konsert orkestra di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) merupakan pengalaman baru dan tidak ternilai harganya dalam hidup saya. Tidak kisah walaupun seorang diri, saya teruja mendengar dan melihat pemuzik Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) bersungguh-sungguh memainkan repertoire Mahler Symphony No. 6 di dewan yang berprestij itu. Walaupun tidak memahami apa yang disampaikan oleh simfoni tersebut, ia tidak berhenti begitu sahaja. Banyak yang saya pelajari tentang muzik klasik Barat. Saya sanggup menggunakan duit gaji untuk membeli tiket konsert saban minggu. Kenangan yang paling tidak dapat saya lupakan ketika menyaksikan Aishah menyanyikan lagu Bahtera Merdeka yang diiringi oleh MPO dan Dato' Johari Salleh selaku konduktor.

Namun sayang sekali negara dikejutkan oleh kematian enam orang remaja ketika menghadiri festival muzik akibat penggunaan dadah dan arak yang berlebihan. Betullah kata Aristotle, muzik boleh mempengaruhi niat manusia. Maknanya muzik yang didengari boleh memperbaiki atau merosakkan peribadi setiap individu. Malah Al-Farabi juga turut mengatakan bahawa muzik juga turut memberikan kesan terhadap emosi dan rohani. Jadi pilihlah muzik yang memberi kebaikan kepada kita dan jauhilah perkara yang boleh memudaratkan diri.

No comments:

Post a Comment