Ads

Thursday 4 August 2011

Godam: ‘Kemelut DBP-Dawama, siapa mangsa?’

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Godam___8216_KemelutDBP-Dawama_siapamangsa___8217_/Article

Bersama Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my
2011/08/04


KEMELUT yang melanda DBP dan Bahagian Percetakan dan Pemasaran DBP yang dikenali sebagai Dawama selepas penswastaannya pada 19 Jun 2002 dengan persetujuan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) panas sehingga ke hari ini.

Yang lebih menjadi mangsa dalam krisis DBP-Dawama ialah 400 pekerja Dawama yang asalnya pekerja DBP di Bahagian Percetakan dan Pemasaran DBP yang diberi pilihan sama ada bersara atau meneruskan perkhidmatan dengan bernaung di bawah Dawama.
Pekerja dengan kemahiran teknikal yang enggan bersara ketika itu, meneruskan perkhidmatan di Dawama kerana tidak dapat diserapkan dalam DBP ekoran tiada bidang berkaitan yang sesuai dengan kemahiran mereka. Sudah pasti mereka tidak pernah menyangka perkara malang diberi notis bercuti tanpa gaji menjelang Aidilfitri akan menimpa mereka, meskipun gaji mereka saban bulan kerap dibayar lewat sehingga termakan bulan berikutnya.

Khabarnya Dawama sedang mengumpul maklumat untuk menyaman DBP, manakala badan berkanun terbabit juga bercadang mengambil langkah serupa selepas beberapa kali syarikat terbabit gagal memastikan semua terbitan DBP diterbitkan mengikut jadual.
Penulis diberitahu, DBP saban tahun terpaksa membayar saman kepada Kementerian Pelajaran apabila lewat mengedarkan buku teks sekolah ekoran kelembapan Dawama dalam memastikan ia diterbitkan dan diedarkan mengikut jadual.

Kemelut itu memaksa Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abd Aziz, turun padang pada 2010 iaitu tahun kedua perkhidmatannya di DBP, dengan memantau sendiri penerbitan dan pengedaran buku teks sekolah bagi memastikan DBP terselamat daripada membayar denda RM2 juta setiap tahun.
Kelemahan penswastaan Bahagian Percetakan dan Pemasaran DBP hakikatnya boleh ‘dihidu’ sebelum pelaksanaannya dengan hanya melihat kepada nisbah agihan perkongsian perniagaan yang dipersetujui.

Bagaimana EPU boleh meluluskan cadangan penswastaan dengan nisbah agihan perkongsian perniagaan tidak masuk akal iaitu 80:20 (Dawama-DBP) untuk judul umum, manakala buku teks 70:30 (Dawama-DBP)?

Berdasarkan kepada nisbah agihan perkongsian perniagaan itu, dapat disimpulkan orang yang tidak pandai berniaga pun akan nampak kelemahan daripada cadangan terbabit, apalagi segala beban editorial dan royalti pengarang ditanggung sepenuhnya oleh DBP sebelum buku masuk di pasaran.

Bagaimana perniagaan sedemikian lumayan kepada penerima konsesi boleh berkesudahan begitu, macam orang berniaga buluh kasap, hujung tahu pangkal lesap, sehingga modal pusingan untuk mencetak buku dan majalah boleh sangkut!

Penulis diberitahu kepimpinan Kesatuan Sekerja DBP yang lama pernah mengemukakan memorandum kepada Lembaga Pengelola DBP pada 2005 agar mengkaji semula penswastaan terbabit, selepas DBP mengalami kerugian RM20 juta setahun, tetapi tiada tindakan diambil.

Kesatuan Sekerja DBP sekali lagi menghantar memorandum pada 2006 dengan tuntutan serupa dan Jawatankuasa Siasatan dibentuk bagi mengkaji semula penswastaan Bahagian Percetakan dan Pemasaran DBP, meskipun diberi perhatian, tetapi tergendala selepas pertukaran pucuk pimpinan.

Dalam kes DBP-Dawama ini dapat dilihat betapa pentingnya setiap individu baik di DBP, Dawama, hatta kakitangan yang mengkaji cadangan penswastaan Bahagian Percetakan dan Pemasaran DBP dulu dan Lembaga Pengelola DBP yang diserahkan memorandum dulu, perlu berlaku amanah.

Dengan berlaku amanah tentunya insiden kegagalan menerbitkan 10 majalah DBP terbitan Julai, kemelut enam juta naskhah buku teks sekolah rendah 2012 nyaris gagal terbit tidak akan berlaku dan 400 kakitangan Dawama tidak akan menjadi mangsa!

Sesungguhnya apa yang terjadi ini bukan saja mencalar citra DBP selaku badan yang diamanahkan memartabatkan bahasa dan sastera negara, tetapi juga imej Dawama sebagai badan perniagaan dan tidak ketinggalan, ‘peribadi’ EPU turut tergores teruk.
Sesungguhnya kemelut yang didedahkan ini wajar dijadikan pengajaran dan wajib dijadikan bahan bermuhasabah diri, baik mereka yang berkhidmat di syarikat apalagi mereka yang memegang amanah rakyat kerana tanpa sokongan mereka melalui potongan cukai pendapatan saban tahun, tidak mungkin masing-masing dapat memegang jawatan!

No comments:

Post a Comment