Ads

Saturday 22 November 2014

Penulis muda ungguli HSPM 2013

Kredit: Laman web Berita Harian http://www.bharian.com.my/node/18886?ds1

JUMAAT, 21 NOVEMBER 2014 @ 10:25 PM
Oleh Mohd Hamizar Hamid Dan Siti Haliza Yusop


TAN Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan hadiah kepada Sri Rahayu Mohd Yusop yang mengungguli Kategori A (Buku) bagi genre Novel pada Majlis Penyampaian HSPM 2013 di Kuala Lumpur malam ini. - Foto Yazit Razali


KUALA LUMPUR : Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2013 yang diumumkan malam ini menyaksikan kebangkitan penulis muda apabila mereka mengungguli hadiah utama dalam acara yang memberi pengiktirafan kepada karya sastera kebangsaan dalam pelbagai genre itu.


Qalam Kalbu karya Sri Rahayu Mohd Yusop yang mengetengahkan tema kasih terhadap ibu dan khazanah warisan Melayu, mengungguli Kategori A (Buku) bagi genre Novel, mengalahkan enam karya lain yang bersaing dalam peringkat akhir bagi kategori sama.

Kemenangan itu membolehkan Sri Rahayu menerima hadiah bernilai RM10,000 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Majlis Penyampaian HSPM 2013 di Hotel Pullman, di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr Madinah Mohamad; Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar; Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan; Duta Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno dan Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar.


TAN Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama pemenang pada Majlis Penyampaian HSPM 2013 di Kuala Lumpur malam ini. - Foto Yazit Razali


Antara penulis muda lain yang turut memenangi HSPM 2013 ialah Rebecca Ilham untuk Kategori A bagi genre Kumpulan Cerpen melalui Hujan Hujung Januari; Roslan Jomel untuk Kategori B bagi genre Cerpen Eceran (Kasut); dan Ariff Mohammad dan Ainunl Muaiyanah Sulaiman untuk Kategori C iaitu Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja masing-masing melalui E-Mel Dari Shinjuku dan Sepetang di Kafe Biblioholic.

Penilaian dibuat berdasarkan tiga kategori iaitu buku atau kumpulan karya perseorangan sebagai kategori A yang membolehkan pemenang menerima hadiah bernilai RM10,000; karya eceran bagi kategori B (RM2,000) dan buku sastera kanak-kanak serta remaja bagi Kategori C (RM5,000)

Tiga lagi penerima Kategori A yang turut membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan bagi genre Kumpulan Puisi melalui Tercipta dari Tanya; Prof Dr Hatta Azad Khan bagi genre Kumpulan Esei/Kritikan (Teater, Filem dan Pengurusan Seni) dan Amir Hassan bagi genre Biografi/Autobiografi (Memoir Hasrat Menyala).





No comments:

Post a Comment