Ads

Showing posts with label Ilmuan Islam - Islamic Scholar. Show all posts
Showing posts with label Ilmuan Islam - Islamic Scholar. Show all posts

Thursday, 20 November 2014

Sambungan: Siri Tokoh Cendikiawan Islam 8: Al-Farabi, Ahli Falsafah Islam

Antara isi kandungan yang menarik perhatian aku. Entri sebelumnya boleh baca di sini, dalam buku Siri Tokoh Cendikiawan Islam 8: Al-Farabi, Ahli Falsafah Islam

Dalam kitab Al-Musiqi'l-Kabir, Al-Farabi menulis pengenalan terhadap pengenalan muzik dalam beberapa bab. Dia menyebut tentang prinsip-prinsip gubahan muzik, alat-alat muzik yang masyhur serta jenis-jenis irama. Al-Farabi menganggap ilmu muzik sebagai sebahagian daripada kurikulum pendidikan. Dia memperkenalkan muzik sebagai ilmu untuk mengenali gubahan irama.

Dia membahagikan ilmu ini kepada dua bahagian. Pertama ialah ilmu amali muzik yang diperuntukkan lima bab. Dalam bahagian pertama ini, dia menyebut tentang prinsip-prinsip gubahan, kaitan prinsip-prinsip ini dengan jenis-jenis alat muzik, tentang-tentang jenis nada semula jadi yang menjadi asas penggubahan lagu, tentang gubahan nota-nota muzik dan gubahan irama yang lengkap.

Bahagian kedua ialah ilmu amali. Dalam bahagian ini, Al-Farabi berbicara tentang nada dan petikan atau pukulan alat muzik yang menghasilkan nada itu. Naskhah-naskhah tulisan tangan bagi kitab ini masih wujud di perpustakaan Leiden, Milan, Escorial dan Beirut. Kitab ini turut dicetak di Kaherah.


Siri Tokoh Cendikiawan Islam 8: Al-Farabi, Ahli Falsafah Islam


Judul Buku: Siri Tokoh Cendikiawan Islam 8: Al-Farabi, Ahli Falsafah Islam (Ulama' al-Arab 8: Al-Farabi, Abu'l-Falsafati'l-Islamiyyah)
Nama Pengarang: Sulayman Fayyad
Nama Penterjemah: Abdul Karim Mustafa
Bilangan Muka Surat: 50
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2003 (Cetakan ke-2)
Harga: RM10.00
ISBN 9789836261069


SINOPSIS

Siri Tokoh Cendikiawan Islam disusun sebanyak 20 judul memaparkan kisah cendikiawan Islam yang masyhur dengan pelbagai kepakaran.

Al-Farabi merupakan seorang ahli falsafah Islam yang pertama serta pakar falsafah yang kedua selepas Aristotle. Hidup pada kurun ke-10 Masihi. Pada zaman kemasyhurannya, beliau amat terkenal di Asia Tengah, Iraq, Syam dan Mesir. Al-Farabi telah mewariskan buku-buku muziknya dan mengembangkan ilmu falsafah Yunani serta membezakan antara falsafah dengan agama kepada generasi selepasnya. Beliau menyeru masyarakat supaya mengamalkan hidup yang sejahtera. Di samping itu, beliau juga hidup sebagai petani di negerinya. Kisah tokoh yang menjadi kebanggaan umat Islam ini sesuai dijadikan bahan bacaan golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Kisah Al-Farabi berkunjung ke istana Amir Saifu'd-Daulah begitu menarik perhatian aku. Menurut ceritanya, Amir Saifu'd-Daulah ingin bersendiri dengan syeikh yang tidak dikenali ini untuk seketika. Dia memerintahkan para hadirin lain supaya meninggalkan mereka berdua. Amir itu meraikan tetamunya, berbual dengannya dan menyelidiki latar belakang syeikh itu. Sesudah itu, amir itu bangun dan memeluk Al-Farabi sebagai tanda hormat.

"Mahukah kamu makan dan minum bersama saya?" tanya Amir Saifu'd-Daulah. Al-Farabi menolak pelawaan amir itu.

Amir bertanya lagi. "Mahukah kamu mendengar persembahan muzik?"

Al-Farabi menjawab, "Boleh juga."

Amir itu memerintahkan supaya kumpulan muzik diraja yang terdiri daripada para pemuzik dan penyanyi keluar dari sebalik tabir. Mereka mula memainkan muzik dan menyanyi. Setiap kali Al-Farabi mendengar petikan atau pukulan alat muzik, dia memanggil pemain alat muzik berkenaan untuk menerangkan kepada pemuzik itu aspek-aspek yang kurang memuaskan dalam persembahannya.

Saifu'd-Daulah merasa takjub lantas bertanya kepada Al-Farabi, "Apakah kamu juga pandai bermain alat muzik, wahai ahli falsafah?"

Al-Farabi mengeluarkan daripada dalam jubahnya suatu beg kecil daripada kain yang mengandungi kepingan-kepingan kayu yang tersusun dan diikat dengan dawai. Ini ialah sejenis alat muzik yang belum pernah dilihat oleh para pemuzik itu. Al-Farabi berkata bahawa alat muzik itu ialah 'alat-alat kanun' yang diciptanya sendiri. Al-Farabi pun mulalah memetik beberapa irama yang asing, ada yang mengalirkan air mata, ada yang membuat roh pendengarnya seolah-olah berada di awang-awangan, dan ada yang membikin pendengarnya tersenyum gembira. 

Sesudah sesi muzik, amir itu kembali bersendirian bersama tetamunya ini. Dia menawarkan wang ringgit dan elaun bulanan kepadanya tetapi Al-Farabi menolak tawaran itu.

Sunday, 29 May 2011

Al-Jahiz

Al Jahiz atau nama penuhnya Abu Uthman Amr Ibn Bakar al-Kinani al-Fuqaimi al-Basri dilahirkan di Basrah pada tahun 164 Hijrah, bersamaan 780 Masihi. Beliau telah mencapai darjat keilmuan pada zaman belianya. Beliau menghadiri kuliah dan bergaul dengan para ilmuan di Midrad, Basrah.

Al-Jahiz juga dianggap sebagai penulis kontemporari, bersistem, mempunyai pemikiran kognitif, teliti dalam membuat kajian serta pemerhatian yang menjadikan beliau bijak dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat. Beliau pakar dalam pelbagai bidang seperti biologi, kehaiwanan, tumbuhan, serangga, antropologi, ekonomi, perdagangan, dan geografi dan menghasilkan kira-kira 350 buah buku.

Beliau menulis Kitab al-Haiwan (Books of Animals) yang terdiri daripada tujuh jilid dan menjadikannya antara penulis yang termasyhur. Beliau telah membahagikan haiwan kepada  tujuh jenis yang merangkumi jenis terbang, berenang, dan berjalan. Beliau turut menyentuh berkenaan kesan-kesan ke atas haiwan, cara pembentukan telur dalam perut ayam, bagaimana sarang burung dibuat, habitat tidur binatang, dan sebagainya.

Saya mengagumi al-Jahiz sebagai pakar dalam bidangnya dan saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang doktor veterinar atau ahli zoologi suatu ketika dahulu.